Sunday, November 22, 2009

BUDAYA PAK TURUT HALANG MINDA KRITIS



Budaya 'pak Turut' amat sinonim dalam bangsa kita. Berapa ramai yang tergelincir dari landasan kesan dari panahan budaya ini.

Banyak keterangan dari al-Quran dan sunnah yang menerangkan perihal budaya ini. Termasuklah disini amaran Allah SWT supaya menjauhinya terutama apabila ianya menurut kehendak Yahudi dan Nasrani. Firman Allah SWt didalam surah al-Baqarah :

" Dan tidak akan redha golongan Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu menuruti mereka"

Ayat ini menerangkan budaya ikutan tanpa mengikut alasan yang benar merupakan satu bahaya yang sentiasa menarik seseorang insan untuk cenderung kearah kesesatan. Begitu juga dengan firman Allah SWT :

" Dan janganlah kamu ikut apa yang tiada kamu mengetahui mengenainya "

Ayat ini sekali lagi menempelak golongan yang menjadikan kejahilan sebagai tok guru mereka. Lalu mereka memasang busur panah dengan begitu mudah untuk menghujani sesiapa yang berbeza dengan mereka. Sedangkan mereka sendiri tidak tahu kearah mana tujunya busur panah itu. Boleh jadi membunuhnya sendiri.

Sabda Nabi SAW :

Dari Huzaifah, katanya ; Sabda Rasulullah SAW : Janganlah kamu menjadi pak turut, kamu kata ( berpandangan ) kalau manusia ( orang ramai ) berbuat baik, kamupun akan turut berbuat baik, kalau mereka melakukan kezaliman, kamupun akan turut berbuat zalim, tetapi tetapkanlah ( dan persiapkanlah ) diri kamu, kalau manusia melakukan kebaikan, kamu akan turut berbuat kebaikan dan kalau mereka melakukan kejahatan, maka janganlah kamu turut melakukan kezaliman ( sebagaimana yang dilakukan oleh khalayak masyarakat ) ( Hadis hassan gharib daripada Tuhfatul Ahwazi, al-Mubarakfuri )

Akal yang waras adalah akal yang bijak menilai sesuatu isu. Allah menggambarkan insan yang berfikiran kritis adalah insan yang memiliki nilai-nilai "kecerdikan". Ini dapat dilihat daripada firman Allah SWT didalam surah al-Anbiya' ayat 51-51 maksudnya :

" Dan demi sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepada Ibrahim sebelum itu kecerdikannya (iaitu setelah ia menerima tauhid), dan Kami adalah mengetahui mengenainya. Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya : "Apakah hakikatnya patung-patung yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?"

Menurut sarjana Islam, tindakan Nabi Ibrahim a.s menamakan kayu dan batu yang dianggap tuhan oleh kaumnya sebagai 'patung-patung' ( al-Tamathil ) adalah membayangkan kecerdikannya. Keterangan ini juga menunjukkan bahawa sikap terlalu terikut-ikut dengan adat warisan ( al-Taqalid ) yang tidak selaras dengan ajaran Islam adalah bertentangan dengan sikap mentauhidkan Allah Swt ( Abd Hadi, Dr Wafa Muhammad Rifaat, Jazirah al-Arab : Sirah Ibrahim wa Ismail wa Hajar a.s wa tarikh haram al-Amin. )

Banyak lagi kisah-kisah yang dipaparkan didalam al-Quran yang menyuruh kita mendatangkan hujjah tanpa mengikut atau menurut sesuka hati. Contohnya kisah Nabi Sulaiman a.s yang meminta burung belatuk membawa alasan kukuh atas kegagalannya berada dalam kumpulan burung-burung yang berada di bawah pimpinannya. Begitu juga tindakan al-Aziz, Raja Mesir yang tidak menerima dakwaan isterinya kononnya Nabi Yusuf yang berusaha menggodanya tanpa bukti yang kukuh.

Ingatlah pesang dan amaran Allah SWT terhadap insan yang hanya menjadi pak turut tanpa menilai dan mengkaji. Slogan yang selalu dimainkan " HANG TANGGUNG DOSA AKU" jelas bercanggah dengan hujjah al-Quran dan Sunnah. Dimana manusia tidak mampu menanggung dosa manusia yang lain.

Berhati-hatilah apabila mendengar penghujahan. Ini kerana boleh jadi insan yang kita ikuti itu membawa kita kepada kesesatan. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 166-167 maksudnya :

" (iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutinya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab siksa itu, dan ketika terputusnya segala hubungan diantara mereka. Dan pada masa yang mengecewakan itu berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut : "Alangkah eloknya kalau kami dikembalikan semual ke dunia maka dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami. Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka ( dengan rupa yang mendatangkan ) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka".


Friday, November 13, 2009

SUNNAH INSAN BERBEZA PENDAPAT


Sejarah telah melakarkan kisah Hang Nadim seorang anak muda berusia 10 tahun mati dibunuh disebabkan kebijaksanaanya menyelamatkan Singapura dari dilanda todak...

Begitu juga dengan gelaran 'penderhaka' yang dilabelkan kepada Hang Jebat kerana selisihnya dengan arus Sungai Melaka...

Begitulah juga kini apabila manusia melupakan kembali sejarah yang diwariskan, maka tidak mustahil sejarah pasti berulang.

Perbezaan pendapat merupakan suatu yang lumrah dalam kehidupan manusia. Sepasang suami isteri pun masih tidak mempu mencapai Ijmak atau Ittifaq dalam menentukan destinasi untuk pulang beraya. Apatah lagi perbincangan yang meluas dalam kerangka ruang berfikir yang semakin global.

Adalah membekukan apabila manusia disekat dari berbeza. Walaupun ada ungkapan " Khaliful ma'ruf " yang bermaksud orang yang suka berbeza adalah orang yang suka mencari populariti, namun ianya adalah terlalu subjektif.

Adakah layak bagi Imam ahl as-Sunnah seperti Imam Ahmad Ibn Hanbal dilabel sebagai 'mengejar glamour' dikala hampir majoriti agamawan di negara beliau di bawah pemerintahan Khalifah Makmun, al-Muktasim dan Khalifah Watsik yang majoriti 'Ahli Jabatan Agama" nya berfahaman Muktazillah. Dan ramai ulama Sunni yang lebih menjaga putih Jubah mereka dari dikotori pemerintah, terus menerus mengangguk mematuk kebatilan dek kerana takutkan pemerintah.

Begitu juga dengan Imam Ibn Taimiyyah. Yang menghidupkan semula ijtihad. Hidup beliau jauh terus menerus diterjah dengan ujian. Pegangan kuat budaya taqlid yang tidak sanggup membuka pintu 'perbezaan' telah memenjarakan Ibn Taimiyyah. Usaha beliau mendapat tentangan daripada ulama pada zamannya. Beliau dituduh dengan bermacam-macam tuduhan sehinggakan beliau menjadi mangsa percaturan yang membawa beliau meninggal didalam penjara. Itulah nilainya sebuah 'perbezaan pendapat'

Sebenarnya dalam sejarah aliran pemikiran Islam dari dahulu lagi telah muncul perbezaan pendapat. Pada zaman sahabat lagi telah muncul perbezaan pendapat disebabkan kerana berbezanya dalam memahami atau menafsirkan 'nas' dan yang keduanya kerana berbeza method berfikir. ( rujuk Muhammad Abu Zahrah, Fi Tarikh Mazahib al-Fiqhiyyah )

Namun yang ketaranya adalah diantara aliran fikiran ( ahl-ra'yi ) dan aliran athar ( ahl-hadis ). Kalau dilihat para fuqaha ahl-Athar tidak menggunakan fikiran kecuali dalam keadaan terdesak, sementara para fuqaha aliran fikiran pula menggunakannya secara meluas bila sahaja tidak tiada hadis untuk dipegang dalam masalah berkenaan.

Kalaulah kerana perbezaan pendapat itu tidak mematangkan umat, maka atas alasan apakah diteruskan pengajian di Universiti andai kajian secara perbandingan diharamkan sama sekali. Adakah ilmu agama yang dipelajari oleh penuntut ilmu menuntut mereka agar menyembunyikan hasil dapatan dari pentarjihan terhadap pendapat dari sekelian lautan ulama'?

Seruan kepada penuntut ilmu. Carilah keluasan ilmu dari asatizah yang telah berjaya menempuhi 5 jalan dan mampu menyimpulkan mana jalan yang terbaik berbanding asatizah yang hanya menempuh satu jalan, namun mengkritik hebat jalan yang belum ditempuhnya.

Terima lah perbezaan pendapat itu sebagai suatu yang positif dan carilah ketepatan dalam perbezaan tersebut. Ini kerana orang yang hebat adalah orang yang menyelusuri jalan yang berbeza lalu ia mendatangkan konklusinya.

Ingatlah pesanan Imam Abu Hanifah ra :

" Orang yang paling alim adalah orang yang paling tahu tentang perbezaan pendapat orang ramai. Kerana pengetahuan tentang pandangan para ulama dalam kes-kes yang mempunyai pandangan-pandangan yang berbeza tentangnya kaan menyerlahkan kebenaran kepada orang yang mampu menganalisis dan melihat sesuatu dari berbagai-bagai dimensi. Orang yang mampu melihat sesuatu dari berbagai-bagai dimensi lebih mampu menentukan sama ada sesuatu itu betul atau salah."
( Muhammad Abu Zahrah, fi Tarikh al-Mazahib al-fiqhiyyah, Maktabah al-Madani, hlm 63)

Thursday, November 12, 2009

SIAPA YANG BERBEZA DENGAN CIKGU AKAN DIROTAN!!!!


Cikgu : Mulai hari ini, anak-anak murid dilarang sama sekali mempertikai sebarang kata-kata cikgu. Mesti patuh dan ikut sahaja.


Murid : Mana boleh macam tu cikgu, kalau kami nampak ada salahnya kami kenalah tegur...


Cikgu : tak boleh!!..menurut enakmen sekolah kita, mana-mana murid yang bercanggah dengan kata-kata cikgunya, maka sesatlah ia...


Murid : Bukankah kami kena berfikiran luas...baru boleh capai wawasan 2020...


Cikgu : Cikgu cakap tak boleh!!!...nanti boleh berpecah belah masyarakat....


Mulai hari itu...setiap murid sentiasa mengiyakan apa yang diperkatakan oleh gurunya. Melainkan seorang pelajar yang pintar dikalangan mereka yang.....
Siapakah pelajar yang pintar itu?


Mungkin generasi sebegini akan melanjutkan tempoh Wawasan 2020 kepada Wawasan 2080.....

SIYASAH SYARI'YYAH DALAM PEMERINTAHAN NEGARA


Dalam bahasa Arab, Siyasah beerti melakukan kebaikan untuk sesuatu ( Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, Beirut : Dar al-Fikr, 1990, Jld 6.)


Menurut Dr Fathi Uthman dalam bukunya al-Fikr al-Qanuni al-Islami, beliau telah menghuraikan istilah Siyasah Syari'yyah sebagai hal-hal yang berhubung dengan undang-undang ketatnegaraan dan pentadbiran, iaitu yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, ahl al-halli wal-aqdi, hak individu dan sebagainya.


Sebenarnya siyasah syari'yyah yang difahami oleh para fuqaha' ialah " Kelonggaran bagi pemerintah melakukan apa sahaja yang boleh membawa kebaikan selagi ianya tidak bertentangan dengan prinsip agama walaupun tidak ada dalil khusus yang membolehkan ia dilakukan."


Pandangan yang sama telah dinukilkan oleh Ibnu 'Uqail salah seorang tokoh dalam mazhab Hanbali, sebagaimana yang dinukilkan dalam oleh Ibnu al-Qayyim dalam buku beliau al-Turuq al-Hukmiyah fi al-Siyasah al-Syari'yyah. kata Ibnu 'Uqail :


" Siyasahh ialah tindakan yang boleh menjamin kepentingan orang ramai dan menjauhkan keburukan walaupun tidak ada hadis Rasulullah atau wahyu Tuhan tentangnya."


Siyasah syari'yyah adalah suatu proses ijtihad dalam perbezaan menilai hasil daripada perbezaan cara berfikir, keadaan dan zaman yang berbeza.


Dek kerana itulah Ibnu Qayyim telah menjelaskan bagaimana kesilapan besar telah berlaku terhadap syariat kerana kejahilan terhadap kaedah berkenaan. Penegasan yang sama telah dibuat oleh Imam Asy-Syatibi dalam kitab al-Muwafaqaat. Para fuqaha telah menamakan ijtihad dalam menangani persoalan-persoalan baru bagi sesebuah negara Islam sebagai Siyasah Syari'iyyah.


Mungkin atas dasar inilah maka Ibn Taimiyyah apabila menulis bukunya tentang pemerintahan Islam telah menamakan buku itu sebagai al-Siayasah al-Syari'yyah fi Islah al-ra'i wal-Ra'iyah dan tidak menamakannya sebagai al-Ahkam al-Sultaniyyah sebagaimana yang dilakukan oleh Imam al-Mawardi dan Abu Ya'la al-Farra'. Sebenarnya buku Ibnu Taimiyyah ini bukan sahaja mengandungi nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tentang pemerintahan Islam tetapi juga hasil ijtihad bersifat semasa yang berasaskan realiti semasa umat dan pemerintahan Islam pada waktu itu.


Menurut Muhammad al-Mubarak dalam pengantar buku berkenaan, mengatakan bahawa Ibnu Taimiyyah apabila menulis buku ini mengambil kira keadaan semasa dan realiti negara serta generasinya...kerana Ibnu Taimiyyah bukan seorang yang faqih dan alim semata-mata tetapi juga seorang yang aktif dalam kehidupan orang awam.


Oleh kerana itu Ibnu 'Uqail secara jelas menolak pandangan dan salah faham yang mungkin timbul dari kata-kata :


" tidak ada siyasah kecuali menepati syarak"


Yang selalu menjadi pegangan ulama' Syafi'e. Kata Ibnu 'Uqail, kalaulah kata-kata itu bermaksud Siyasah itu mestilah tidak menyalahi apa-apa yang ditentukan oleh syarak maka ianya memang tepat. tetapi kalaulah ianya bermaksud bahawa tidak ada siyasah kecuali berdasarkan apa yang telah dijelaskan oleh syarak maka itu adalah satu kekeliruan dan pandangan yang mengelirukan terhadap para sahabat Nabi SAW. Ini kerana para sahabat Nabi SAW sendiri pernah memutuskan hukum berdasarkan kepentingan umum walaupun tidak ada nas secara khusus yang menyokongnya.


Para fuqaha' telah mengemukakan contoh antaranya :


1 ) Perlantikan Umar ra. oleh Abu Bakar as-Siddiq sebagai khalifah kedua meskipun Nabi SAW tidak pernah melantik pengganti baginda. Tidak ada seorang pun yang menuduh Abu Bakar atau Umar sebagai melanggar suariat Allah.


2 ) Umar ra telah berijtihad dan memutuskan bahawa talak tiga boleh jatuh sekaligus sedangkan beliau sendiri amat arif bahawa al-Quran secara jelas menyebut "Talak itu dua kali..." Sedangkan pada zaman Rasulullah SAW dan Abu Bakar talak hanya jatuh satu sahaja dalam satu peristiwa.


3 ) Tindakan Umar yang membakar kedai yang menjual arak dan kampung yang menjual arak.


4 ) Tindakan Umar yang membakar Istana Saad bin abi Waqqas kerana istana berkenaan menyebabkan Gabenor berkenaan terpisah dari rakyat.


Banyak lagi contoh pemakaian Siyasah Syari'yyah yang telah diberikan oleh para fuqaha'.


Secara jelasnya, Siyasah Syari'yyah adala suatu method dalam mengatasi kekakuan polisi dan jentera pemerintahan dan pentadbiran negara yang biasanya menjadi satu masalah dalam masyarakat yang pesat membangun. Melalui cara ini pelaksanaan dasar dan peraturan dapat diselesaikan dengan licin berpandukan kepentingan-kepentingan semasa asalkan saja tidak bertentangan dengan mana-mana nas syarak atau prinsip-prinsip secara umum.

Saturday, November 7, 2009

BISNES BARU : "TENDER SIJIL TAULIAH"


Negara dikejutkan dengan ops menangkap Mantan Mufti Dr Asri Zainal Abidin baru-baru ini. Serbuan yang datangnya bagaikan cukup satu pasukan kawad kaki iaitu hampir 35 penguatkuasa JAIS di rumah Pak Ya. Namun saya secara peribadi tidak terkejut dengan penangkapan ini.

Pada tahun-tahun yang lalu, sewaktu Dr Asri membilang hari untuk menyambungkan pengajian di UK, telah wujud desas desus menyatakan bahawa beliau akan ditangkap sekiranya masih lagi meneruskan kuliah beliau di Surau Taman Sri Ukay Ulu Kelang. Namun ianya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang serbuan walaupun Dr Asri sudah bersedia dengan tindakan tersebut.

Kali ini, pihak JAIS mendakwa Dr Asri bersalah atas tuduhan mengajar tanpa tauliah. Isu tauliah semakin hangat dibincangkan buat masa panas ini. Sedangkan ianya sudah menjadi 'racun' yang membunuh hujjah para daie yang ikhlas dalam berjuang sejak dari zaman susah payah perjuangan ustaz-ustaz dalam PAS sejak 2-3 siri PRU sebelum ini. Pada zaman itu, isu tauliah sentiasa dibangkitkan oleh PAS kerana menyekat kebebasan ustaz-ustaz mereka menyampaikan dakwah.

Selang beberapa tahun sebelum ini, isu tauliah telah kembali hangat di kalangan ustaz-ustaz Sunnah pula. Pendakwaan Dr Abdullah Yassin, Ustaz Fathul Bari dan juga beberapa nama yang sudah di 'gam' seperti pendakwah antarabangsa terkenal iaitu ustaz Hussein Yee. Mengalang mereka seumpama menghalang satu usaha dakwah dari terus tersebar. Kalau kita melihat secara realiti para audience yang mendengar kuliah yang disampaikan dengan secara penuh hikmah dan menarik yang telah ditunjukkan oleh Dr Abdullah Yassin contohnya datang dari pelbagai kelompok. Penulis pernah menghadiri kuliah beliau di Kelab Golf Perkhidmatan Awam PJ. Yang hadir terdiri dari kalangan Datin-datin termasuk juga beberapa artis tempatan malah ada yang datang dengan tanpa mengenakan tudung di kepala. Walaupun ianya agak janggal. Namun inilah yang dinamakan kejayaan ustaz-ustaz sebegini dalam menjuarai memikat hati-hati golongan yang merasakan diri mereka agak jauh dari agama Allah SWT.

Begitu juga Ustaz Hussein Yee. Walaupun beliau terbuaang di bumi Malaysia sendiri, namun berkat kecekalan beliau, nama beliau tersenarai dikalangan pendakwah antarabangsa. Maka usah terkejut sekiranya beliau dapat duduk sebaris di pentas yang sama bersama Dr Zakir Naik di India dengan kehadiran ratusan ribu umat Islam disana. Malah pendakwah antarabangsa terkenal Yusuf Estes itu juga merupakan rakan beliau. Ramai lagi penduduk Muslim dunia diluar dari Malaysia mencemburui Malaysia dengan kehebatan Ustaz Hussein Yee. Namun mereka tidak tahu, nama beliau terpalit di papan hitam 'penjenayah besar' dakwah di Malaysia. Itulah Malaysiaku....." tauliah...tauliah..."...

Kita menghormati Enakmen Syariah Selangor yang menetapkan tauliah sebagai syarat untu menyampaikan ilmu agama di negerinya. Pemerintah melihat ianya satu jalan untuk menyekat tersebarnya ajaran sesat di tanah air. Ianya satu yang baik dan boleh mendatang banyak manfaat kepada agama Islam itu sendiri.

Persoalan yang berbangkit disini ialah......

Pengurusan penerimaan tauliah itu sendiri. Ramai ustaz yang datang dengan pelbagai latar belakang agama yang hebat namun disekat untuk mendapatkan tauliah. Mereka bukanlah seorang yang sombong dan angkuh untuk tidak pergi meminta izin mendapatkan tauliah. Namun, kebanyakkan ustaz-ustaz tersebut sudah tahu bahawa kehadiran mereka ke JAIS untuk mendapatkan tauliah hanya sia-sia. Sehinggakan diceritakan, seorang ustaz yang pergi ke JAIS lalu menjawab semua pertanyaan yang dikemukakan dengan baik dan tepat walaupun di'perli' dengan pelbagai kata-kata hina dari penemuduga juga tidak dapat menerima sijil tauliah. Lalu ustaz tersebut berkata kepada penemuduga tersebut " Kalau macam inilah cara temuduga mintak tauliah, Nabi SAW sendiri pun tak akan dapat tauliah dari JAIS.!!!"


Apalah nak dihairankan dengan Dr ASri jika ia dihalang dari berceramah. Dia pun tau kalau dia pi mintak tauliah takkan dapat punya.






Dato' Haron Din pun tak dapat ceramah JAIS tak bagi sebab tak dak tauliah....





Tauliah merupakan satu titik untuk mengawal agama daripada dirosakkan. Ianya satu yang positif jika digunakan seara berhemah. Seperti mana sijil HALAL yang dikeluarkan oleh JAKIM. Kita pernah mengesyorkan kepada JAKIM supaya dikeluarkan juga sijil HARAM bagi mana-mana produk yang tidak halal.

Ini kerana kaedah fiqh sendiri mengatakan " al-AShlu fil asy yaa' al-ibahah"...Maksudnya : Asal sesuatu benda itu harus....

Namun ianya tidak dilaksanakan. Kalau lah ianya dilaksanakan, maka kita tidak akan lagi mendengar ' Sijil HARAM palsu'.
Tetapi apakan daya....ini juga satu perniagaan..Jika salah sebuah syarikat datang untuk mendapatkan sijil HALAL, maka syarikat tersebut terpaksa membayar ongkosnya. Satu bisnes yang baik. Di tambah lagi dengan ( bukans semua ) wang kopi, komisyen, atau pelincir senang cerita wang suapan rasuah yang diberikan.

Lihat sahaja sijil-sijil dan lesem-lesen yang lain. Semuanya terpaksa menempuh satu proses yang sukar malah ada sebahagian penguatkuasa mendapatkan kesempatan dari pada kesukaran tersebut untuk menambah 'side income' mereka.

Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar JAIS meletakkan harga yang tinggi dan syarat mendapatkan tauliah yang rumit supaya bisnes baru ini dapat memajukan ekonomi negara.